Tafsir Surah Kahfi Ayat 33 – 38 (Bahaya fahaman materialisme) (2024)

Kahfi Ayat 33:

Sahih International

Each of the two gardens produced its fruit and did not fall short thereof in anything. And We caused to gush forth within them a river.

Malay

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikit pun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ ءآتَتْ أُكُلَهَا

Setiap dari dua kebun itu mengeluarkan hasilnya;

Dua kebun yang dimaksudkan adalah kebun anggur dan kebun kurmanya. Sebagai petani, mereka tidak semestinya dapat mengaut hasil tanaman setelah mereka menanam tanaman itu. Kadang-kadang tanaman itu tidak menjadi. Sudahlah kena jaga untuk waktu yang lama, dapat hasil pun setahun sekali – bukan macam kerja makan gaji yang sudah pasti dapat gaji bulanan.

Petani hanya mendapat hasil apabila tanaman mereka dituai. Kadang-kadang hanya setahun sekali sahaja. Tapi kadangkala tanaman itu tidaklah membuahkan hasil sangat. Tapi nikmat yang Allah berikan kepada lelaki ini adalah kebun-kebunnya itu semuanya membuahkan hasil. Tidak ada yang rosak.

Apabila perkataanكِلْتَاdigunakan, ianya bermaksud setiap dahan membuahkan hasil – penghasilan adalah 100%. Ini adalah amat hebat sekali dan selalunya para petani tidak dapat kelebihan ini. Kerana selalunya mesti ada kurang.

وَلَمْ تَظْلِمْ مِّنْهُ شَيْئًا

dan ia tidak kurangkan sedikit pun dari hasil itu;

Kadang-kadang tuaian seorang petani tidak dapat 100% hasilnya. Ada yang hanya 70%, mungkin lebih banyak sedikit atau lagi kurang. Tapi Allah mengatakan dalam ayat ini, tanamannya lelaki itu membuahkan hasil 100%. Tidak kurang dari itu.

Kalimah لَمْ تَظْلِمْ pada mulanya bermaksud ‘tidak menganiaya’. Pada ayat ini ia difahami dalam erti tidak mengurangi hasil bagi pemiliknya. Ini kerana pemilik kebun sebelum menuai telah mengharapkan keberhasilan kebun-kebunnya dan menganggarkan jumlah yang dapat dituainya. Target tersebut telah melekat dalam benaknya sehingga dia merasa bahawa itu adalah miliknya. Ini bererti jika hasil kebun itu kurang dari apa yang diperkirakannya, maka dia merasa bagaikan dizalimi. Nah, ayat ini menyatakan bahawa dia tidak dizalimi. Dia dapat apa yang dia kehendaki.

Perlu diingatkan bahawa kalimah لَمْ تَظْلِمْ pelakukanya adalah kebun itu. Kerana ia adalah تَظْلِمْ, bukannya يَظْلِمْ. Pengajaran di sini adalah kebun itu tidak berlaku zalim terhadap pemiliknya, tetapi pemilik kebun itu berbuat zalim kepada Allah bahkan kepada dirinya sendiri.

وَفَجَّرْنَا خِلٰلَهُمَا نَهَرًا

dan Kami pancarkan sungai di antara kebun-kebun itu;

Ini disebut lagi nikmat lain yang diberikan kepada lelaki itu. Di celah kebun-kebun itu ada sungai pula. Bermakna, ini adalah satu kebun yang amat hebat. Dalam kebun orang lain, mungkin kena usaha lebih sebab kena mengambil air dari tempat lain, tapi lelaki ini telah diberikan sungai di tengah-tengah kebun-kebunnya untuk memudahkan dia mendapat air. Bayangkan betapa mudahnya kerja dia. Ini bermakna, kebunnya mendapat air yang cukup. Mewah betul kebun-kebun dia.

Kalau Allah sudah cerita tentang kebun yang sebegini hebat dalam Al-Qur’an, bermakna tidak akan ada kebun yang macam ini dah. Seperti juga Firaun, tidak ada lagi kerajaan yang macam kerajaannya. Begitu juga dengan kerajaan Nabi Sulaiman – tidak ada kerajaan yang macam kerajaannya lagi.

Kalau kita lihat ayat ini dari mula penceritaan, Allah menggunakan perkataan ‘Kami’. Iaitu Allah lah memberikan nikmat semua itu kepada lelaki itu. Bukanlah lelaki itu mendapat semua kelebihan itu dari usahanya sendiri. Kalau Allah tak beri semua itu, dia tidak akan dapat pun.

Ada riwayat menyatakan dua lelaki di dalam kisah ini adalah dua orang bersaudara dari Bani Israil, yang orang tuanya meninggal dan mewariskan harta kepada mereka. Yang satu membeli dua petak kebun dan yang lain bersedekah dengan harta warisannya.

Ada lagi yang menyebut bahawa kedua orang yang dimaksudkan adalah dua orang bersaudara yang tinggal di Mekah. Yang pertama seorang mukmin bernama Abu Salamah Ibn ‘Abdullah Ibn Asad, sedang saudaranya yang bernama al-Aswad Ibn ‘Abdullah adalah seorang kafir.

Masih ada banyak lagi nama-nama yang disebut, namun perlu diketahui bahawa baik ayat ini turun berkenaan orang-orang tertentu yang diketahui atau tidak diketahui namanya, seperti pendapat sesetengah ulama di atas, mahupun ia merupakan kisah simbolik, seperti pendapat ulama lain, yang jelas dan yang perlu diperhatikan adalah pengajaran yang harus dipetik dari tamsil yang dipaparkan ayat ini, iaitu mereka yang mengabaikan nilai-nilai Ilahi akan menyesal dan celaka, sedangkan yang memperhatikan dan mengamalkannya —walau hidupnya di dunia sederhana dan miskin —akan memperoleh kebahagiaan abadi.

Kahf Ayat 34:

Sahih International

And he had fruit, so he said to his companion while he was conversing with him, “I am greater than you in wealth and mightier in [numbers of] men.”

Malay

Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

وَكَانَ لَهُ ۥ ثَمَرٌ

Dan adalah baginya buah-buahan;

Asal perkataan ثَمَرٌdalam ayat ini jamak kepada ثمرة yang bermaksud ‘buah’, tapi maknanya yang hendak disampaikan adalah ‘kekayaan’. Kerana dengan banyaknya hasil dari ladang dan kebunnya itu, dia mendapat rezeki dengan menjual hasilnya, dan dengan itu dia mendapat kekayaan yang banyak. Jadi dia bukan sahaja ada buah-buahan, akan tetapi dia ada emas dan perak.

Bermakna dia ini adalah seorang yang amat kaya. Kekayaan yang ada padanya melimpah ruah. Dan kalau begitu, tentu dia ada kekayaan lain yang dia beli dan kumpulkan. Selalunya orang kaya akan kumpul harta mereka banyak-banyak.

فَقَالَ لِصَـٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ ۥۤ

Maka dia berkata kepada sahabatnya semasa mereka sedang bercakap-cakap;

Sekarang kita masuk kepada percakapan antara dua orang lelaki dalam kisah ini. Seorang kaya dan seorang lagi miskin. Dia amat berbangga dengan kekayaan yang dia ada, maka dia bercerita kepada kawannya itu.

Apa yang dia cakap kepada lelaki ini tentang kelebihannya itu, bukanlah dia terus cakap sahaja. Tidak ada orang yang tiba-tiba terus kata dia ada lebih dari orang lain. Bermakna, mereka mulanya bersembang tentang hal-hal lain. Itulah maksudيُحَاوِرُهُ – mereka bercakap-cakap.

Dan dari perkataan itu, kita tahu yang dialah yang memulakan percakapan mereka itu. Mungkin dia yang pergi ke rumah lelaki yang mukmin itu. Asalnya mereka bersembang tentang perkara biasa-biasa sahaja. Mungkin tentang cuaca, tentang anak-anak dan sebagainya.

Tapi dalam mereka bercakap-cakap tentang perkara biasa itu, dia selitkan sedikit tentang kelebihan yang banyak padanya. Macam kita juga dalam dunia ini. Ada yang dalam sembang-sembang biasa, mereka akan selitkan kelebihan mereka. Mereka kata mereka ada itu, ada ini.

Entah kenapa, dalam dunia ini, kalau seseorang itu kaya, mereka akan selalunya suka hendak menceritakan kekayaan mereka kepada orang lain. Mereka kata mereka ada itu, ada ini. Mereka pergi sana, mereka pergi sini. Jarang yang merendah diri dengan apa yang mereka ada.Nampak macam mereka bukan nak mendabik dada, tapi sebenarnya, ya.

Mereka buat macam mereka bukan nak cakap besar, tapi begitulah sebenarnya buat mereka. Mereka akan ‘melapik’ percakapan mereka. Dalam masa yang sama, secara sedar atau tidak, mereka merendahkan perasaan orang yang tidak ada harta. Contohnya, kalau kita kata kita ada kereta besar, dalam masa yang sama, kita juga mengatakan bahawa orang yang kita bersembang dengannya itu, tidak ada kereta besar.

أَنَاْ أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا

Aku lebih banyak harta dari kamu;

Jadi lelaki yang kaya ini menyelit dalam percakapannya yang dia ada banyak harta dari sahabatnya itu. Tidaklah dia kata “aku ada banyak harta, tau!” tapi dia dia selit dalam percakapan mereka itu. Dan sahabat dia yang mukmin itu adalah seorang miskin. Tidak perlu disebut dalam ayat ini kerana kalau tak cakap dia ada macam-macam pun tak perlu, sebab semua orang sudah tahu.

Dalam Allah menyebut tentang kelebihan yang telah diberikan kepada lelaki yang pertama itu, Allah tidak sebut langsung tentang apakah yang diberi kepada lelaki kedua yang mukmin itu. Ini adalah kerana apa yang lelaki kedua itu ada, tidak setanding langsung dengan apa yang ada pada lelaki pertama, sampai Allah tak sebut pun.

وَأَعَزُّ نَفَرًا

Dan aku lebih hebat dengan pengikut yang ramai;

Kalimah نَفَرًا dari katadasar ن ف ر yang bermaksud bangkit dengan penuh semangat menuju sesuatu. Kata ini biasa digunakan untuk merujuk kepada keluarga, kerana merekalah yang pertama kali bangkit dengan penuh semangat membela anggota keluarganya. Sesetengah ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kata tersebut di sini adalah anak-anak. Memang masyarakat pada masa turunnya Al-Qur’an seringkali berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak-anak, apalagi anak-anak lelaki.

Selain dari anak-anak, ia juga boleh merujuk kepada pekerja. Maknanya lelaki kaya ini ada banyak anak-anak lelaki atau pekerja-pekerja untuk menguruskan hartanya yang banyak itu. Jadi, dia rasa dia seorang yang berpengaruh. Dia sekarang telah meninggi diri. Itulah sahaja yang dikehendaki oleh orang yang lupa diri: kekayaan yang banyak dan pengikut yang ramai.

Lihatlah cara dia bercakap itu. Bermakna dia adalah seorang yang kaya lagi sombong dan suka menunjuk-nunjukkan kekayaannya itu dengan menunjukkan kesombongannya itu. Memang harta kekayaan dan kesenangan hidup di dunia menjadi satu punca yang utama menyebabkan manusia lalai leka dan lupa akhirat dan lupa Allah. Maka pengajaran bagi kita adalah jangan jadi seperti orang ini. Kalau ada harta pun, jangan nak tunjukkan kepada orang lain dan jangan nak sombong.

Lelaki ini berbangga dengan kejayaan yang dia ada dan dia sangka semuanya itu atas hasil usaha dia, kepandaian dia sahaja. Dia lupa Allah telah beri rahmat itu kepadanya sebagai ujian, dan apabila dia berbangga dan lupa Allah, dia telah gagal. Ini sama dengan Qarun seperti yang disebut dalam Qasas:78

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”.

Kahf Ayat 35:

Sahih International

And he entered his garden while he was unjust to himself. He said, “I do not think that this will perish – ever.

Malay

Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ ۥ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفسِهِۦ

Dan dia pun masuk kebunnya sedangkan dia menzalimi dirinya sendiri;

Allah tak kata lelaki kaya itu menzalimi sahabatnya yang miskin itu. Tapi Allah kata dia menzalimi ‘diri’nya sendiri. Apakah maksudnya? Dia telah menzalimi dirinya dengan melakukan syirik kepada Allah. Dia masuk kebunnya itu dengan angkuh dan riak. Riak itu adalah salah satu dari syirik khafi (syirik kecil), tapi kalau selalu dibuat, ianya akan menjadi syirik besar.

Manusia selalu tidak perasan yang mereka sedang menzalimi diri mereka. Mereka sangka yang dizalimi adalah orang lain apabila mereka melakukan dosa. Mereka tidak nampak yang kesan daripada dosa itu akan menyebabkan mereka sendiri yang susah. Kezaliman mereka itu akan dipertanggungjawabkan nanti di Akhirat. Maka Allah ﷻ hendak ubah paradigma manusia: apa-apa kesalahan yang kamu sedang lakukan, kamu sebenarnya sedang menzalimi diri kamu dan kamu akan mendapat susah kerananya nanti.

Tapi bukan itu sahaja. Kerana perkataan ظَالِمٌ (zalim) bermaksud ‘melakukan syirik’.Tapi apakah syirik yang dilakukannya? Ada dalam sambungan pada ayat ini. Memang dia ada buat perbuatan yang syirik. Apa yang dia buat itu, banyak juga dilakukan oleh orang sekarang.

Dia menzalimi dirinya kerana dia rasa apa yang semua dia ada itu adalah hasil usahanya sendiri. Ini adalah Syirik fi tawakkul. Dia lupa yang semua itu telah diberi oleh Allah kepadanya. Semuanya adalah kurniaan Allah. Dia lupa nak kaitkan kekayaan yang dia ada itu dari Allah.

Ayat ini adalah tentang apa yang dia cakap dengan kawannya yang miskin itu. Mungkin dia ajak kawannya itu berjalan-jalan dalam kebunnya. Dan sambil itu dia menunjuk-nunjuk kelebihan kebunnya itu.

قَالَ مَآ أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِۦۤ أَبَدًا

Aku tidak rasa kebun aku ini akan binasa sampai bila-bila;

Kalimah تَبِيدَ dari katadasar ب ي د yang bermaksud kehancuran dan kebinasaan. Dia yakin kebunnya itu akan kekal sampai bila-bila. Maknanya dia nafikan kuasa Tuhan. Dia rasa dengan dia pandai mengusaha kebun-kebunnya itu, dengan menggunakan pekerja yang ramai dengan susunan tanamannya, kebunnya itu akan kekal. Dia sangka dengan ada kebun tamarnya yang menjadi pendinding kepada kebun anggurnya, kebun anggurnya itu akan selamat. Dia lupa Allah boleh musnahkan kebunnya itu bila-bila sahaja.

Dia rasa dia yang menyebabkan kebunnya boleh sampai jadi begitu. Padahal Tuhan yang jadikan. Allah telah sebut berkali-kali dalam ayat-ayat sebelum ini. Sekarang ni pun ramai yang berperasaan macam itu. Mereka rasa merekalah yang menyebabkan kejayaan mereka. Mereka sangka sebab mereka pandai dan sebab mereka telah berusaha kuat, mereka dapat kejayaan itu kerana diri mereka sendiri.

Mereka lupa tentang kuasa Allah yang menyebabkan mereka berjaya. Berapa ramai orang yang pandai dan bijaksana, dan mereka juga telah gigih berusaha, tapi mereka tidak berjaya? Ingatlah bahawa mereka yang berjaya itu adalah kerana Allah lah yang memberikan kejayaan kepada mereka. Kalau Allah tidak takdirkan kejayaan bagi dia, tidak kira berapa banyak usaha dia, tidak akan berjaya juga.

Dan satu lagi sifat golongan yang terbelit dengan materialisme adalah mereka rasa apa yang mereka ada itu kekal sampai bila-bila. Mereka terlupa langsung yang tidak ada yang kekal, melainkan Allah. Mereka sayang sangat harta mereka itu sampai mereka tak dapat terima yang ia akan musnah satu hari nanti.

Kahf Ayat 36:

Sahih International

And I do not think the Hour will occur. And even if I should be brought back to my Lord, I will surely find better than this as a return.”

Malay

Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan tidaklah aku yakin kiamat itu akan datang;

Dia sudah sampai rasa Kiamat takkan terjadi sebab hatinya sudah tertakluk kepada dunia. Dia terlalu mementingkan dunia sahaja. Dia sudah tak nampak akan ada lagi kehidupan selepas kehidupan di dunia ini. Ini kerana dia sayang sangat kepada dunia kerana dia dapat kelebihan yang banyak.

Itulah bahayanya pemahaman materialisme yang dianjurkan oleh orang-orang kafir. Mereka ajar untuk fokus hanya kepada dunia dan kebendaan sahaja. Padahal dunia ini tidak akan kekal. Yang pasti akhirat pasti akan terjadi.

وَلَئِنْ رُّدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي

dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku;

Dia nak kata sekiranya betul-betul Hari Kiamat akan berlaku dan dia dikembalikan kepada Tuhan (sebagaimana yang dikatakan oleh kawannya yang mukmin itu), dia pasti akan selamat. Dia kata kalau-kalau kiamat terjadi juga. Dia sebenarnya tak rasa kiamat akan terjadi, tapi kalaulah terjadi, katanya:

لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنْقَلَبًا

pasti aku akan mendapat kebaikan yang lebih baik dari ini sebagai tempat kembalian;

Dia rasa kalau ada Kiamat dan kehidupan selepas mati, dia pun akan dapat kelebihan juga. Ini memang satu masalah besar bagi golongan materialistik.

Begitulah ramai yang sangka mereka akan selamat di akhirat. Mereka rasa mereka akan selamat kerana mereka rasa mereka telah banyak buat kebaikan. Ini kerana selalunya orang-orang kaya itu selalu juga menderma. Contohnya, kita ambil seorang wakil rakyat. Dekat-dekat pilihanraya, dia akan banyak menderma. Mereka akan tolong orang sana sini. Mereka akan tanya apakah lagi yang mereka tak beri lagi?

Mereka sebenarnya bukan ikhlas, tapi mereka mengharap mereka diundi. Tapi orang yang sama, selepas dia bukan wakil rakyat atau pemimpin, dia akan berhenti dari berbuat kebajikan. Maknanya, dia hanya buat kebajikan itu kerana hendak meraih undi. Bukan kerana nak tolong orang sangat, dan bukan kerana ikhlas kepada Allah.

Maknanya, mereka yang kaya itu jangan kita kata mereka tidak menderma, sebab mereka memang menderma. Cuma niat mereka menderma itu kita tidak tahu. Jadi, mereka sangka perbuatan menderma mereka itu akan dibalas dengan pahala besar dari Tuhan. Mereka sangka mereka akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan, kalaulah ada hari kiamat nanti. Tapi sebenarnya mereka buat itu bukan kerana Tuhan tapi kerana hendakkan sesuatu seperti undi dari masyarakat sahaja. Jadi tidak ada pahala untuk mereka sebenarnya.

Jadi, lelaki kaya itu sangka dengan dia banyak memberi pertolongan kepada orang miskin, dia rasa dia akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan. Tidak sama sekali. Kerana Allah hanya mengira dan membalas berdasarkan nilai keikhlasan seseorang. Kalau dia memberi itu kerana ikhlas, dia akan dapat balasan baik. Tapi kalau tidak ikhlas, ia tidak akan dikira sebagai pahala.

Ataupun, kalau dia ikhlas pun bahagian sedekah itu, belum tentu dia akan selamat tentang perkara lain lagi.

Satu lagi tafsir: manusia yang sebegitu sangka kerana mereka telah diberi dengan kelebihan-kelebihan yang banyak di dunia, mereka sangka mereka akan mendapat kebaikan juga di akhirat nanti. Sebab mereka rasa mereka mendapat kekayaan dan kelebihan semasa di dunia ini, kerana mereka adalah manusia terpilih oleh Allah.

Mereka sangka mereka disayangi oleh Allah, sebab itu mereka dapat kebaikan yang banyak di dunia. Dan kalau Tuhan sayang mereka semasa di dunia lagi, tentulah mereka akan dapat kelebihan juga di akhirat kelak.

Inilah salah faham banyak orang. Inilah juga fahaman Kristian yang baru – mereka kata carilah kekayaan yang banyak semasa di dunia. Sebab ketua agama mereka kata tanda Tuhan sayang seseorang itu adalah dengan memberi kekayaan di dunia.

Tidak begitu sebenarnya. Nikmat yang Allah berikan di dunia ini bukan sebagai tanda bahawa Allah sayang lebih kepada kita berbanding orang lain. Kekayaan dan kemiskinan sama sahaja – dua-dua adalah dugaan dari Allah. Kadang-kadang kekayaan adalah satu dugaan yang lebih dari kemiskinan. Kerana kalau kita miskin, selalunya kita akan selalu mengharap kepada Allah. Tapi selalunya, kalau sudah kaya, kita senang lupa kepada Allah.

Semua yang kita hadapi dalam dunia ini adalah ujian. Semua yang kita ada dalam dunia ini adalah ujian. Miskin itu ujian, kaya itu ujian. Sakit itu adalah ujian, sihat juga ujian. Dilahirkan sebagai perempuan adalah ujian, juga kalau dilahirkan sebagai lelaki. Yang penting, bagaimana kita hadapi ujian yang diberikan kepada kita itu? Adakah sebagai apa yang Allah kehendaki atau tidak?

Kahf Ayat 37: Apakah balasan jawab dari sahabatnya yang mukmin itu? Mari kita dengar pula.

Sahih International

His companion said to him while he was conversing with him, “Have you disbelieved in He who created you from dust and then from a sperm-drop and then proportioned you [as] a man?

Malay

berkatalah rakannya kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur engkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?

قَالَ لَهُ ۥ صَاحِبُهُ ۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ ۥۤ

Berkata sahabatnya yang mukmin itu kepadanya, semasa mereka sedang berbicara;

Kalau kita lihat ayat-ayat sebelum ini, iaitu semasa orang yang kafir itu menyatakan kelebihan dirinya dan kekurangan sahabatnya itu, sahabatnya tidak berkata apa-apa – iaitu Allah tak sebut tentang jawapan dia pun. Begitulah, kadang-kadang bila kita direndahkan oleh orang lain, tak boleh nak jawab apa-apa. Boleh tundukkan muka sahaja. Jadi kalau ada orang yang cakap begitu kepada kita, angguk sahajalah kepala.

Tapi, apabila sahabatnya itu telah cakap pemahaman yang salah, dia sebagai seorang yang mukmin tidak boleh tahan lagi. Dia kena cakap sesuatu untuk memperbetulkan akidah lelaki itu.

Oleh itu semasa lelaki kaya itu membanggakan dirinya, dialah yang memulakan percakapan itu. Kali ini, kita diberitahu bahawa lelaki miskin yang mukmin itu pula yang memulakan percakapan antara mereka, kerana ada kalimah يُحَاوِرُهُ juga di dalam ayat ini. Seperti telah disebut sebelum ini, bukanlah bermakna, dia terus pergi dan tegur lelaki kaya itu. Mungkin percakapan mereka tentang perkara biasa-biasa sahaja – tentang cuaca, tentang keadaan semasa. Kalimah يُحَاوِرُهُ dari kata حار – يحور yang bermaksud mengembalikan. Ia bermaksud terjadi pengembalian kata-kata antara mereka. Lelaki pertama bercakap dengan angkuh dan sombong, dan sekarang lelaki kedua menjawabnya dengan peringatan dan nasihat.

Di dalam sembang biasa itu, dia menyelitkan nasihat yang dia hendak sampaikan kepada lelaki kaya itu. Beginilah yang sepatutnya kita cakap kepada orang yang seperti orang kaya itu tadi.

Cuma di dalam ayat ini digunakan kalimah صَاحِبُهُ yang kita terjemahkan sahabatnya. Akan tetapi kalimah صَاحِبُ tidak semestinya bermaksud sahabat kental yang selalu bersama. Jadi kita boleh katakan ia bermaksud sekadar menemani sahaja. Kerana orang yang mukmin tidak esok bersahabat dengan orang kafir, kerana takut terikut-ikut pula dengan pemahaman mereka. Kawan biasa sahaja bolehlah.

أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ

“Patutkah kamu engkar dengan Tuhan yang menciptakan kamu dari tanah?”;

Tak patut engkar kepada Allah yang telah menjadikan kita. Dan kita ini dijadikan dari tanah yang hina, iaitu manusia yang pertama adalah Adam, dan Adam dijadikan dari tanah. Tanah tidak ada nilai asalnya, maka kenapa kita nak sombong sangat dan rasa diri itu hebat dan istimewa?

ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ

“Kemudian mencipta kamu dari sperma.”;

Allah telah mencipta manusia (yang lahir selepas Nabi Adam a.s.) dari air mani yang hina. Dari tidak ada apa-apa kepada mempunyai segala apa yang dia ada. Kerana air mani itu pun hina juga. Kalau jatuh ke tanah, ayam tak patut dan itik pun tak sudu.

Di sini digunakan kalimah ثُمَّ yang bermaksud kemudian, tapi jangka jarak masa yang jauh dan lama. Di sini ia mengisyaratkan betapa jauh jarak antara dan tanah dan sperma serta tahap-tahap penciptaan manusia sesudahnya.

ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلًا

“Kemudian Dia sempurnakan kamu menjadi manusia yang sempurna”;

Adakah patut setelah Allah menjadikan kamu pandai berkata-kata dan sempurna sebagai manusia, kamu kufur pula kepada Allah? ‘Kufur’ itu boleh bermaksud tidak bersyukur kepada Allah. Apabila sangka kelebihan yang didapati adalah dari hasil usaha sendiri sahaja, maka itu sudah tidak bersyukur kepada Allah. Ia dinamakan sebagai ‘kufur nikmat’. Iaitu lupa bahawa apa sahaja yang kita ada ini adalah dari Allah.

Lelaki yang seorang lagi ini menolak pemahaman orang kaya yang salah itu dan dalam waktu yang sama dia mengagungkan Allah. Begitulah, apa-apa pun kita kena kembalikan kepada Allah.

Kahf Ayat 38:

Sahih International

But as for me, He is Allah, my Lord, and I do not associate with my Lord anyone.

Malay

Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

ْلَٰكِنَّا

“Akan tetapi aku percaya dan yakin bahawa”;

Ini adalah kata-kata dakwah kawannya yang Mukmin itu. Dia beritahu apa yang dia yakin. Kerana dia yakin, maka dia boleh sampaikan. Maka kita pun kena yakin dengan ilmu kita. Kena belajar sampai jadi yakin.

هُوَ اللهُ رَبِّي

“Dialah Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan memelihara aku”;

Makna ‘Rabb’ itu bukan hanya ‘Tuhan’ sahaja, tapi yang mencipta, memiliki, memelihara dan menjaga. Kita tidaklah dijadikan oleh Allah dan kemudian Allah biarkan kita menjalani kehidupan kita begitu sahaja. Tapi Allah sentiasa memelihara kita dan mentadbir kehidupan kita.

Lelaki itu cakap dengan berakhlak sekali. Dia tidak kata Allah itu “Tuhan engkau”, tapi dia kata “Tuhan aku”.

وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا

“dan aku sekali-kali tidak akan menyekutu dengan Tuhan yang menciptakan aku dengan satu apa pun.”;

Dia bercakap tentang dirinya. Maknanya sambil dia mengingatkan kawannya yang kaya itu, dia juga mengingatkan dirinya sendiri. Tapi dalam masa yang sama, sebenarnya dia hendak menasihati kawannya yang kaya itu. Kerana kawannya itu telah rosak akidahnya kerana terlalu mementingkan kebendaan.

Kenapa Allah kata lelaki kaya itu telah rosak akidahnya? Padahal dalam ayat sebelum ini, dia seperti percaya kepada Hari Akhirat. Dia pun tidak dikatakan menyembah berhala atau tuhan selain Allah. Tapi, Allah masih kata dia telah rosak akidah.

Akidahnya telah rosak kerana dia tidak bergantung kepada Allah. Dia hanya bergantung kepada ladang-ladang dan hartanya sahaja. Kita hendaklah berhati-hati juga dalam hal ini. Pergantungan kita hendaklah kepada Allah. Kadang-kadang kita mungkin terlalu percaya kepada benda juga.

Contohnya, kita percaya kepada pembuat kereta yang menyebabkan kereta kita berjalan lancar. Padahal, ianya dapat berjalan dengan selamat adalah kerana Allah yang benarkan; kalau kita makan ubat dan sembuh, kadang-kadang kita kata ubat itu yang menyembuhkan, sampai lupa nak sebut bahawa Allah lah yang sebenarnya menyembuhkan kita; begitulah kejadian seharian kita. Kita lupa nak pulangkan segala nikmat yang kita ada ini kepada Allah taala.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf

Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an,Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 33 – 38 (Bahaya fahaman materialisme) (2024)
Top Articles
Latest Posts
Article information

Author: Laurine Ryan

Last Updated:

Views: 5953

Rating: 4.7 / 5 (77 voted)

Reviews: 92% of readers found this page helpful

Author information

Name: Laurine Ryan

Birthday: 1994-12-23

Address: Suite 751 871 Lissette Throughway, West Kittie, NH 41603

Phone: +2366831109631

Job: Sales Producer

Hobby: Creative writing, Motor sports, Do it yourself, Skateboarding, Coffee roasting, Calligraphy, Stand-up comedy

Introduction: My name is Laurine Ryan, I am a adorable, fair, graceful, spotless, gorgeous, homely, cooperative person who loves writing and wants to share my knowledge and understanding with you.